Skip to main content

Apakah IR 4.0? Adakah ia penting kepada kita semua ?

 

1.0      REVOLUSI INDUSTRI 4.0 (IR 4.0)

 

1.1 PENGENALAN

 

Dalam era kehidupan manusia masa kini, kita tidak boleh lari dari perkembangan teknologi. Saban  hari teknologi ini makin berkembang dan bergerak dengan pantas. Cara hidup dan tindakan kita juga ditentukan oleh revolusi teknologi ini. Begitu juga dengan perkembangan revolusi industri di dunia kini. Apa yang kita lihat atau kita guna sekarang adalah hasil daripada kesinambungan revolusi industri dari yang pertama dulu. Mengikut sejarah, revolusi industri pertama dulu atau lebih dikenali sebagai Revolusi Industri 1.0 yang berada dalam era tahun 1760-1840 lebih kepada penggunaan mesin. Sekitar tahun 1870-1914 revolusi industri 2.0 mula diperkenalkan dimana pada revolusi ini bermulalah zaman pengeluaran besar-besaran. Pada revolusi 3.0 pula iaitu pada tahun 1960-1999 kita mula diperkenalkan dengan teknologi baru yang lebih dikenali sebagai teknologi digital. Teknologi ini membawa perubahan daripada sistem analog kepada sistem digital. Dan kini tanpa kita sedar atau tidak kita berada pada era revolusi industri 4.0 dimana pada era revolusi ini teknologi  internet dan teknologi maklumat serta teknologi robotik sudah digunakan secara meluas. Malah boleh dikatakan urusan kehidupan kita sekarang semuanya berasaskan teknologi IR4.0. Revolusi Industri 4.0 ini bukan sahaja memgubah cara hidup kita, malah ia juga mengubah bidang-bidang yang lain seperti bidang pendidikan , ekonomi, sosial dan lain-lain lagi. Terdapat 9 tongak utama dalam revolusi industri 4.0 ini iaitu Cybersecurity, Augmented Reality, Internet of Things, Cloud Computing, Big Data, Autonomous Robots, System Integrated, Simulation dan Additive Manufacturing. Namun dalam penulisan ini penulis hanya akan membincangkan tiga (3) teknologi yang terdapat dalam IR4.0 ini. Teknologi tersebut adalah:

-          Internet of Things

-          Robotik Autonomi dan

-          Cloud Computing


 

 


 

2.0 INTERNET OF THINGS (IoT)

 

2.1 Definisi

 

Dalam kepesatan kemajuan teknologi masa kini, jalur lebar internet sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan  kita seharian. Internet of things atau dipanggil IoT, dalam Bahasa melayunya dipanggil sebagai Internet pelbagai benda menjadi satu topik perbincangan yang popular masa kini. Apa yang dimaksudkan dengan IoT ini? IoT ini boleh definasikan sebagai satu jaringan benda fizikal yang mempunyai perisian (software) dan teknologi yang mampu berhubung dengan peranti lain dan betukar-tukar data atau sistem melalui rangkaian internet. Ia juga boleh merujuk sebagai kemampuan untuk memindahkan data melalui jaringan internet tanpa perlu hubungan antara manusia dengan manusia atau manusia dengan komputer. Secara ringkasnya IoT ini adalah lanjutan kepada teknologi internet masa kini.  Ia mempunyai kebolehan untuk berhubung dengan peranti yang lain dan membuat tindakan berpandukan maklumat yang diterima.Dan tanpa kita sedari sebenarnya kita terlibat secara langsung dengan sistem IoT ini dalam setiap aktiviti kita seharian.

2.2 Fungsi IoT

 

Sedar atau pun tidak kita sekarang memasuki fasa dimana internet menjadi sumber utama dalam kehidupan kita. Hidup kita terasa lebih mudah dengan dibantu oleh peranti-peranti pintar yang menggunakan internet ini. Tugas kita sebagai manusia ini lebih kepada mengatur serta memerhati sahaja peranti-peranti ini berkerja mengikut apa yang kita inginkan. Selain daripada penggunaan kita di rumah atau pejabat, teknologi IoT ini juga banyak digunakan oleh pihak swasta dan kerajaan dalam melancarkan urusan mereka. Agensi-agensi kerajaan dan swasta ini banyak bergantung kepada IoT bagi meningkatkan produktiviti serta perkhidmatan yang diberikan. Selain daripada itu terdapat beberapa lagi bidang yang mendapat manfaat melalui teknologi IoT ini. Antaranya ialah:

2.2.1 Bidang Pertanian

 

Fungsi utama IoT dalam bidang pertanian adalah mengawasi dan memantau keadaan tanah yang hendak digunakan untuk pertanian. Selain itu, ia juga boleh mengetahui sistem pengairan yang sesuai serta memperolehi data-data berkaitan cuaca semasa dan juga memantau keadaan kesihatan ternakan. Contohnya seperti dalam sistem pengairan, dengan data kelembapan tanah yang diperolehi dengan kaedah IoT ini, sensor akan menghantar maklumat kepada pengkala data dan seterusnya proses penyiraman air akan dilakukan secara automatik tanpa perlu kawalan daripada manusia. Dengan itu kelembapan tanah dapat dikekalkan dan tanaman akan terus subur.

2.2.2 Bidang Perindustrian

 

Dalam perindustrian pembuatan dan pengeluaran, penggunaan teknologi robot dan mesin ini telah banyak digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mengurangkan kos tenaga. Dengan rangkaian mesin dan sensor, teknologi ini mampu meningkatkan pengeluaran yang produk yang optimum. Selain itu, teknologi IoT ini boleh membantu dalam pengurusan aset melalui penyelenggaraan yang dirancang, menilai statistik kewangan dan pengeluaran produk. Sistem pintar melalui teknologi IoT ini juga mampu diintergrasikan dengan sistem smart Grid. Ia boleh membuat kawalan secara automatik dalam sesebuah bangunan dengan fungsi yang dikawal oleh sensor dalam sistem rangkaian yang besar. Selain dalam bidang pembuatan, bidang peruncitan juga banyak menggunakan aplikasi IoT ini. Ia tidak sekadar pengurusan runcit dan retail sahaja, malah ia boleh dimanfaatkan oleh pengusaha restoran, penghotelan dan perniagaan-perniagaan lain bagi meningkatkan keuntungan.

2.2.3 Bidang kesihatan

 

Dalam bidang kesihatan, peranti IoT digunakan dalam sistem pemantauan kesihatan dimana sistem ini boleh menghantar maklumat kesihatan seseorang itu dengan pantas. Peranti ini memantau tahap tekanan darah, jantung dan sebagainya dan menghantar informasi secara jarak jauh. Ini membolehkan pemantauan dan penjagaan yang lebih baik serta sempurna dapat dibuat.

2.3 Kebaikan dan keburukan IoT

BIL

KEBAIKAN IoT

KEBURUKAN IoT

1.

Data:

Banyak maklumat yang mampu diperolehi menyebabkan pengguna lebih mudah menilai sama ada perkara ini baik ataupun tidak.

Privasi:

Data-data peribadi banyak dipamerkan tanpa kerelaan pengguna

2.

Masa:

Proses pengumpulan maklumat akan lebih cepat tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak.

Kerumitan:

Sesetengah modul IoT ini memerlukn penjagaan berkala bagi memastikan sistem ini terus berjalan dan beroperasi.

3.

Kos:

Kos bagi membayar kepada pekerja dapat dikurangkan kerana kerja ini telah digantikan dengan mesin.

Keselamatan:

Walau secanggih mana pun sistem ini, ia tidak mampu mengelak dari serangan virus atau penggodam.

4.

Inovasi:

IoT ini merupakan perkara baru namun akan menjadi satu perubahan besar pada masa depan.

Pekerja:

Apabila terlalu banyak penggunaan sistem atau mesin, semakin kurang tenaga kerja yang diperlukan. Dan ini menyebabkan masalah pengangguran dalam masyarakat bertambah

Jadual 1: Kebaikan dan keburukan IoT

 

 

2.4 Contoh Negara pengguna IoT

 

Salah satu negara yang banyak menggunakan teknologi Internet of Things ini ialah Korea. Rakyat korea telah lama mengaplikasikan IoT ini terutamanya di kediaman mereka. Kebanyakkan rumah-rumah disana dilengkapkan dengan teknologi peranti rumah pintar. Dengan peranti ini, penghuni sesebuah rumah mampu mengawal segala peralatan dirumah  walaupun berada dalam jarak yang jauh. Contohnya seperti menyalakan dan mematikan lampu, memantau kawasan sekitar dengan adanya kamera tertutup dan sebagaiya. Negara lain yang banyak mengaplikasikan teknologi IoT ini ialah negara Jepun. Bidang perindustrian di negara Jepun menggunakan teknologi robotik  bagi meningkatkan tahap pengeluaran mereka. Malah pada masa kini Jepun bersedia berkongsi data-data dan maklumat industri mereka kepada dunia luar. Dengan adanya teknologi IoT ini, memudahkan pengilang-pengilang mengurus dan memantau proses pengeluaran dimana peranti dan sensor pada mesin yang dihubungkan dengan internet mampu berinteraksi dengan manusia atau mesin dengan mesin yang lain.

 

3.0 ROBOTIK AUTONOMI

 

3.1 Definisi

 

Robot autonomi merupakan satu mesin elektro-mekanikal yang dicipta untuk melakukan tugas-tugas yang berbeza mengikut kepintaran dan kegunaannya. Ia boleh bekerja dalam tempoh yang panjang tanpa perlu kawalan manusia. Setiap jenis robot ini mempunyai ciri-ciri canggih yang membolehkan mereka memahami persekitaran fizikal dan melakukan perkara yang diarahkan kepadanya. Robot autonomi selalunya menjalankan kerja mereka tanpa sebarang hubungan dengan manusia kecuali jika sebahagian dari tugas mereka itu memerlukan manusia. Kini, dengan kemajuan teknologi, kegunaan robot telah diperluaskaan ke pelbagai bidang seperti bidang perubatan, bidang komunikasi angkasa, ketenteraan, perladangan dan pelbagai lagi.

 

 

3.2 Fungsi Robot autonomi

 

Setiap robot automoni mempunyai fungsi yang berbeza-beza mengikut tujuan robot itu dicipta. Namun keseluruhannya, fungsi robot ini adalah sama, iaitu berfungsi bagi memudahkan urusan pekerjaan manusia. Secara dasarnya terdapat beberapa fungsi yang dapat dilakukan robot antaranya:

§  Dalam bidang industri, kegunaan robot ini mampu meningkatkan produktiviti serta kawalan kualiti yang baik dan mengukuhkan daya tahan industri itu.

§  Robot ini juga boleh mengantikan manusia dalam melakukan tugas-tugas yang dalam kategori bahaya dan berisiko tinggi.

§  Bagi bidang pendidikan pula, ia mampu menarik minat para pelajar meneroka dengan lebih dalam mengenai teknologi robotik ini dan melahirkan idea dan inovasi yang baru pada masa hadapan.

§  Dengan adanya robot dirumah, ia mampu meringankan tugas manusia seperti melakukan kerja-kerja rumah conntohnya menyapu, mengemop, membasuh dan sebagainya.

§  Dan robot-robot ini juga boleh digunakan sebagai alat hiburan atau peneman bagi manusia mengikut jenis yang manusia inginkan.

3.3 Kebaikan dan keburukan Robot autonomi

 

 

 

BIL

KEBAIKAN

KEBURUKAN

1.

Meningkatkan kuantiti dan kualiti sesuatu produksi

Modal permulaan bagi mendapatkan robot ini agak besar

2.

Robot-robot ini mampu melakukan tugas lebih lama daripada manusia tanpa masalah

Robot-robot ini dapat menggantikan tenaga manusia secara tidak langsug ia menyebabkan kadar pengangguran meningkat

3.

Dapat mengoptimumkan sumber tenaga yang terdapat dalam sesuatu perusahahan itu

Dengan adanya robot yang melakukan segalanya untuk manusia menyebabkan lahirnya karakter generasi baru yang malas

4.

Mengurangkan kos perbelanjaan dengan pengeluaran yang maksimum

 

5.

Dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga mahir yang diperlukan dalam industri tersebut

 

Jadual 2: kebaikan dan keburukan Robot Autonomi

 

3.4 Negara peneraju Robot Autonomi

 

Dalam perkembangan teknologi robotik ini, negara China dilihat begitu pesat membangunkan robot autonomi ini berbanding negara-negara maju yang lain. China telah menggunakan hampir keseluruhan teknologi ini dalam kesemua bidang dalam negara mereka. Antara kemajuan terkini yang berjaya dilakukan China ialah dalam bidang perubatan dimana robot telah berjaya membuat pembedahan gigi kepada seorang wanita. Kejayaan ini membuktikan bahawa robot mampu melakukan tugas yang dahulu hanya manusia yang melakukannya. Selain itu, robot-robot ini juga telah digunakan bagi melakukan tugas di hospital seperti membantu jururawat dalam urusan dengan pesakit.

 Di negara-negara barat pula, Amerika Syarikat juga dilihat begitu maju dalam mengunakan teknologi robot autonomi ini. Antara bidang yang sering dikaitkan dengan teknologi ini di USA ialah dalam bidang ketenteraan. Contohnya teknologi ini digunakan dalam membangunkan sebuah pesawat tempur yang mampu dikendalikan tanpa juruterbang. Pesawat ini mampu terbang lebih lama dan mampu menembak sasaran dalam jarak yang jauh dan tanpa dikesan pihak musuh. Selain pesawat, mereka juga berjaya mencipta robot tempur dimana robot-robot ini mampu bertindak dan melakukan serangan persis anggota tentera yang sebenar. Robot-robot ini hanya perlu dikawal oleh seseorang dalam jarak yang jauh dan mampu beoperasi dalam masa yang lama serta dalam pelbagai keadaan cuaca.

 

4.0 PENGKOMPUTERAN AWAN (Cloud Computing)

 

4.1 Definisi

 

Pengkomputeran awan adalah satu penggunaan teknologi komputer atau pembangunan komputer yang berasaskan internet atau dikenali sebagai awan. Ia mempunyai kemampuan berkaitan dengan teknologi maklumat dimana banyak sumber-sumber maklumat dapat disediakan untuk pengguna dan boleh diakses melalui capaian internet pada sebilang masa dan tempat. Dengan kata lain, pengkomputern awan adalah memudahkan penyimpanan dan pencapaian data dan aplikasi dengan menggunakan komputer atau pelbagai platform peranti mudah alih yang lain dengan syarat ia  mempunyai capaian internet. Proses ini bermula apabila pengguna memuat naik data-data seperti dokumen, video, gambar ataupun lagu-lagu dan kemudian data-data ini boleh dicapai di tempat yang lain seperti laptop, telefon bimbit, tablet atau peranti-peranti yang lain melalui internet.

4.2 Fungsi Pengkomputeran Awan

 

Dalam sesebuah organisasi, pengkomputeran awan ini mampu meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan. Ini kerana fungsi pengkomputer awan ini membolehkan pengguna memdapatkan maklumat atau data-data yang diperlukan tanpa perlu menghubungi atau berjumpa secara bersemuka. Ia menjimatkan masa dengan hanya berkolaborasi  secara dalam talian. Selain daripada boleh dicapai dengan mudah teknologi ini juga mempunyai kapasiti penyimpanan yang besar untuk menyimpan pelbagi jenis data. Fungsi-fungsi pengkomputeran awan ini juga bergantung kepada jenisnya. Antara jenis pengkomputeran awan ini ialah:

i.                    Pengkomputeran awan persendirian (Private Cloud)

Ia hanya dikhaskan atau dituju kepada organisasi atau individu pengguna tertentu sahaja. Pengguna yang selain daripada itu tidak boleh mencapai data-data di dalam awan ini.

ii.                  Pengkomputeran awan awam (Public Cloud)

Pengkomputeran jenis ini membolehkan sesiapa sahaja untuk menggunakannya. Contohnya seperti Google Engine, Amazon Cloud, Window Cloud dan lain-lain lagi.

iii.                Pengkomputeran awan Hibrid (Hybrid Cloud)

Ia adalah satu kombinasi antara Awan Persendirian dengan Awan Awam. Organisasi boleh menyimpan data dalam awan persendirian dan boleh mengekalkan data yang lain dalam awan awam.

iv.                Pengkomputeran Komuniti (Community Cloud)

Ia adalah gabungan kepada semua pengkomputeran awan diatas. Data-data dalam awan ini boleh dikongsi oleh mana-mana organisasi atau individu tetapi perlu mematuhi ketetapan dari segi keselamatan, polisi dan bidang kuasa.

 

4.3 Keburukan dan Kebaikan Pengkomputeran Awan



4.4 Negara maju dalam Teknologi Pengkomputeran Awan

 

Dewasa ini kita dapat melihat pengunaan pengkomputeran awan ini sangat berkembang di serata dunia. Banyak negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jepun telah lama mengaplikasikan teknologi awan ini. Malah negara-negara ke-3 juga telah banyak menggunakan teknologi ini dalam urusan organisasi mereka. Walaupun dikatakan tahap keselamatan terhadap data-data yang disimpan di awan ini kurang baik, namun penggunaannya meningkat dari masa ke semasa. Selain daripada kos yang agak murah, tahap capaian yang meluas dan ruang penyimpanan yang besar juga menjadi punca peralihan kepada teknologi ini. China adalah antara negara yang paling banyak dalam pengeluaran teknologi awan ini. Syarikat-syarikat gergasi yang ada seperti Huawei, vivo, LG dan sebagainya banyak memperlihatkan teknologi terkini mereka bagi mempromosikan teknologi internet serta pengkomputeran awan.

 

 

5.0 CABARAN IR4.0

 

Menjadi satu kelaziman dimana wujudnya satu revolusi baru akan pasti terdapat cabaran-cabaran yang perlu dihadapi. Dengan bermula dari IR1.0 lagi dunia telah menghadapi pelbagai cabaran dalam menentukan revolusi ini dapat berkembang seiring kehendak masyarakat dan semasa. Kini revolusi industri 4.0 telah wujud dan tentunya akan ada cabaran-cabaran yang harus kita tempuhi sama ada dari pihak swasta atau kerajaan itu sendiri. Terdapat beberapa cabaran yang agak penting yang harus pihak swasta dan kerajaan lakukan bagi menghadapi IR4.0 ini. Antaranya ialah:

5.1 Kekurangan tenaga mahir

 

Bagi melahirkan generasi yang mahir dalam bidang digital dengan IR4.0 ini memerlukan satu jangka masa yang lama dan memerlukan sejumlah perbelanjaan yang banyak. Hampir kebanyakkan golongan pekerja hari ini belum dapat menerima dan menyesuaikan diri terhadap revolusi baru. Pihak kerajaan terutamannya harus bertindak cepat dengan memberi pendedahan awal terhadap generasi muda berkaitan dengan revolusi yang berlaku dan perubahan yang akan mereka hadapi pada masa hadapan.

5.2 Ancaman keselamatan

 

Dengan wujudnya revolusi baru ini, ancaman kepada jenayah siber akan terus meningkat berbanding sebelum ini. Teknologi internet pelbagai benda (IoT) yang dihubungan dengan sistem fizikal dan internet ini mendatangkan banyak kelemahan dalam sistem rangkaian. Ini memberi peluang dan ruang kepada penggodam dan penjenayah siber yang lain mengambil kesempatan. Ancaman siber ini memberi risiko kepada pendedahan data dan maklumat peribadi seseorang individu. Begitu juga dengan organisasi-organisasi yang mungkin akan kehilangan terhadap kawalan data mereka.

5.3 Cabaran dalam sistem pendidikan

 

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan haruslah lebih berinovatif bersesuaian dengan revolusi digital ini terutama dalam sistem pembelajarn dan pengajaran (P&P).  Ini bagi melahirkan murid yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi serta berinovatif seiring dengan perubahan revousi semasa. Perkara ini membantu dalam pencapaian pelajar dan mendidik mereka agar lebih berdaya saing dalam menempuh alam perkerjaan dan kehidupan mereka pada masa hadapan. Para guru dan juga pendidik memainkan peranan dan haruslah lebih bersedia terhadap perubahan revolusi ini. Pihak kerajaan perlu menyediakan mekanisma dan insentif kepada para pendidik bagi memastikan mereka mampu memberikan khidmat yang sewajarnya bagi menghadapi revolusi ini. Selain itu cabaran yang besar yang harus pihak swasta dan kerajaan laksanakan dalam bidang pendidikan ialah berkaitan penambahan tenaga pengajar dan merapatkan jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar.

 

6.0 KESIMPULAN

 

Kemajuan dan pembangunan teknologi industri ini tidak akan berhenti setakat IR4.0 sahaja. Akan ada kesinambungan revolusi ini selagi mana ada keperluan dalam industri di dunia. Kesan terhadap kehidupan manusia juga tidak dapat dielakkan. Pelbagai pihak perlu mempersiapkan diri bagi menerima kesan daripada perubahan revolusi ini terutama IR4.0.  Sekiranya  tanpa persediaan dan persiapan rapi, sukar untuk kita mencapai perubahan ini dan akan memberikan kesan buruk kepada kemajuan negara. Pelan perancangan strategik harus dibangunkan secara menyeluruh oleh pengubal dasar bagi memastikan perubahan perkembangan revolusi ini dapat dimanfaat sepenuhnya. Pengurusan tertinggi dalam sesebuah organisasi itu perlu memikirkan kaedah terbaik bagi memperolehi kebaikan daripada revolusi ini seperti pembangunan modal Ehsan dan kemajuan syarikat. Pendedahan serta latihan harus diberikan kepada para pekerja supaya mereka lebih bersedia dan berkeyakinan dalam menghadapi sistem dan perubahan ini. Segala polisi serta garis panduan dan pelaksanaan kerja harus diberi perhatian serius supaya okbjektif yang telah ditetapkan tercapai.

Bagi masyarakat pula, minda mereka harus terbuka dalam penerimaan perubahan revolusi ini. Sekiranya masih dengan pemikiran yang lama, dan takut untuk menerima perubahan dikhuatiri akan terjadinya dimana masyarakat tersebut akan ketinggalan dan tidak mampu untuk maju kehadapan. Penting bagi masyarakat mempersiapkan diri mereka dan anak-anak mereka dengan pendidikan yang berkemahiran tinggi

RUJUKAN

(n.d.). Retrieved from http://bukharis.net/index.php/2012/02/pengkomputeran-awan/

(n.d.). Retrieved from http://tambah.info/berita/komputer-bisnis/565-mengenal-lebih-dekat-cloud-computing

Faisal, R. (2014). Apa itu Internet of Things? Retrieved from http://teknojurnal.com/definisi-internet-of-things/.

 

Comments

Popular posts from this blog

AI (Artificial Intelligent) bahaya ???

  AI dia banyak pecahan. Salah satunya dipanggil machine learning. sebahagian machine learning konsepnya ambil dari macam mana otak kita berfungsi. Itu dipanggil neural network. Dia ada kebolehan untuk belajar dan "menghafal" pattern. AI tu akan jadi bagus modelnya bila ada banyak data. kalau ambil contoh betul, untuk latih AI kenal sesuatu benda minimum 10K gambar kena ada (Kalau nak optimum). Ianya seperti kita mengajar budak kecil kenal buah-buahan, kita akan tunjuk buah tu pada budak dan sebut nama buah tu. Cuma machine learning ni lembab sebab perlukan data yang banyak. Company besar dah banyak invest masuk bidang AI ni untuk memudahkan kerja. Contoh Google, Nvidia dan lain2. Macam2 product yang diorang hasilkan dengan AI ni . Ada yang permudahkan kerja rumit, ada yang boleh membuat kebarangkalian, dan macam2 (Boleh cari sendiri).  Kalau risau tentang AI ni ada 'self-awareness', dia boleh berlaku dengan syarat ada manusia yang sanggup gila2 tahap nak buat kerja t...